PAMERAN “MENYELUSURI KARYA SENI NORHAIZA”


BALAI SENI NEGARA MENGETENGAHKAN KEMBALI SENI TRADISI MELALUI PAMERAN “MENYELUSURI  KARYA SENI NORHAIZA”

KUALA LUMPUR  – 22 Mac 2017, Balai Seni Negara mempamerkan sebuah Pameran Solo yang bertajuk “Menyelusuri Karya Seni Norhaiza”.  Objektif utama Balai Seni Negara membawakan pameran ini adalah untuk mengangkat dan meraikan pereka-pereka dari semua lapisan masyarakat di samping mengangkat kembali Seni Tradisi kepada generasi kini. 

Norhaiza seorang pereka, pengukir dan ilustrator yang berbakat. Dilahirkan pada 20 Febuari 1963, di Kampung Raja, Besut, Terengganu. Beliau merupakan Pengasas, Pengarah dan Pengukir bagi Syarikat Seni Ukir Bakawali  dan Tunjang Bakawali.


Beliau tidak pernah belajar ilmu seni ukiran secara formal di mana-mana institut, tetapi telah berguru dengan 6 orang pengukir Terengganu dan Kelantan iaitu  Wan Su Othman, Wan Mustapha Wan Su, Long Latif, Rahman Long , Tengku Ibrahim dan Nik Rashidin Nik Hussin  sekitar tahun 1980an hingga 2000.

Pernah berpameran beberapa kali di dalam negara dan peringkat antarabangsa, antaranya beberapa Siri Pameran Jejak Langkasuka di Kg Raja Besut, Galeri UPM Serdang dan Galeri Langkasuka & Oasis Ara Damansara,  Siri Pameran Spirit Of Wood Muzium Negeri Terengganu, Muzium Negara, Brunai Gallery London, ACM Sinngapura. Tahun 1996 beliau pernah berpameran di Balai Seni Lukis Negara beliau pada Pameran “ From the Tropica Wood”.

Bagi menyesuaikan pameran ini dalam konteks seni visual ianya disusun  lebih berfokuskan kepada dokumentasi dan penyelidikan yang boleh dikongsi dengan orang  ramai. Keunikan Hasil karya Norhaiza adalah mengenai kajian analisisnya tentang Motif Melayu Tradisional.

Menurut Norhaiza, Beliau merasa terkesan kerana seni ini diambang kepupusan. Apa yang beliau lakukan pada hari ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menghidupkannya kembali.

Setiap motif dan rekabentuk adalah berkaitan dengan cara hidup seharian. Contohnya bilangan anak tangga rumah melayu adalah dalam urutan genap ini adalah kerana bagi masyarakat melayu untuk memasuki rumah dimulakan dengan kaki kanan. Bermakna jika dari tanah dimulakan melangkah dengan kaki kanan ke anak tangga pertama, apabila melangkah ke pintu rumah akan sampai dengan kaki kanan dahulu.

Begitu juga dengan motif dan ukiran tradisonal melayu, susunannya mempunyai makna. 

Selain dikenali sebagai seorang pengukir ukiran kayu halus, beliau juga telah menjadi ilustrator yang mahir dalam lukisan teknikal, hiasan dan kontekstual. Norhaiza telah memperkembangkan hasil karya seni ukiran tradisional, lukisan dan cetakan tradisional beliau ke medium lain, dalam cat air, akrilik dan beberapa bentuk pewarna.

Pameran ini menghimpunkan lebih daripada 70 buah koleksi peribadi beliau. Terdiri dari Karya beberapa karya awal hingga yang terkini.
Pameran ini telah dirasmikan oleh  Yang Berbahagia Tan Sri Wan Azmi bin Wan Hamzah ( Non Independence Non Executive Chairman Rohas Technic  Berhad) 

Ianya berlangsung di Galeri Reka, Balai Seni Negara mulai 19 Mac 2018 hingga 19 April 2018. 










 




































Comments